Home UMP Publishing Policies
DASAR PENERBITAN UMP

 

Dasar Penerbitan UMP adalah untuk memperbanyakkan penerbitan buku dan bahan ilmiah bermutu tinggi yang dihasilkan oleh para akademik dan cendekiawan bagi tujuan menambahkan khazanah ilmu, menyebar pengetahuan dan maklumat untuk manfaat manusia sejagat, di samping mengangkat nama Universiti Malaysia Pahang sdan menyokong misi penubuhannya. Dasar Penerbit UMP menitikberatkan bidang pengkhususan universiti dan karya-karya yang menyokong pengajaran dan pembelajaran di UMP tanpa meminggirkan isu-isu masyarakat setempat dan bahasa kebangsaan.
 
 
KADAR-KADAR BAYARAN YANG TELAH DILULUSKAN
BAGI PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG
 
 
 

1.1        KADAR BAYARAN PENILAI BUKU/JURNAL                               
           
1.1.1     Kadar bayaran bagi penilai buku adalah sebanyak RM400 bagi

bidang kejuruteraan, sains sosial dan pengurusan terknologi.

 

1.2        KADAR BAYARAN PEWASIT

1.2.1     Kadar bayaran bagi pewasit adalah sebanyak RM350 bagi setiap

            artikel.

 

1.3        KADAR BAYARAN PENYUNTINGAN

1.3.1     Kadar bayaran bagi penyuntingan adalah sebanyak RM0.05 – RM0.10 bagi setiap patah perkataan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

 

1.4        KADAR BAYARAN TERJEMAHAN

1.4.1     Kadar bayaran bagi proses terjemahan adalah seperti berikut :

1.4.1.1  Bagi Bahasa Inggeris – Bahasa Melayu:

maksimum RM0.12 bagi setiap patah perkataan.

1.4.1.2  Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris :

 RM0.25 bagi   setiap patah perkataan.

1.4.1.3  Bagi Bahasa Melayu/Bahasa Inggeris - Bahasa Asing atau   sebaliknya:

RM0.40 bagi setiap patah perkataan.

 

1.5        KADAR BAYARAN ROYALTI

1.5.1     Kadar bayaran adalah seperti berikut :

1.5.1.1  Bagi manuskrip yang ditulis oleh seorang penulis, kadar bayaran royalti adalah sebanyak 12%.

1.5.1.2  Bagi manuskrip yang ditulis oleh dua hingga lima penulis, kadar bayaran royalti adalah sebanyak 15%

1.5.1.3  Sekiranya manuskrip ditulis melebihi lima orang, royalti sebanyak 17% akan diberikan.

 

 

1.6        KADAR BAYARAN KEPADA PENGEDAR LUAR

1.6.1     Kadar bayaran bagi pengedar luar adalah sebanyak 40%.

 

1.7        KADAR BAYARAN PEMBACA PRUF

1.7.1     Kadar bayaran bagi pembacaan pruf adalah sebanyak RM3.00

bagi setiap 1000 patah perkataan.

 

1.8        FORMULA PENETAPAN HARGA BUKU DAN KEUNTUNGAN

1.8.1     Penerbit UMP menetapkan harga buku dan keuntungan dikira mengikut kos penerbitan buku, pengedaran, promosi dan royalti.

                                               

1.9        KADAR POTONGAN HARGA/DISKAUN

1.9.1     Kadar potongan harga untuk diberi kepada pembeli sama ada

individu atau syarikat yang berminat adalah antara 10% -  40%  mengikut budi bicara Penerbit UMP.

 

 

PANDUAN PENULISAN RENCANA ILMIAH – JURNAL UMP

 

 
JURNAL UMP dibahagikan kepada:
 
  1. Jurnal UMP – Kejuruteraan & Sains Komputer
  2. Jurnal UMP – Sains Kemanusiaan & Pengurusan Teknologi
 
1.  Jurnal UMP – Kejuruteraan & Sains Komputer
 
Jurnal ini diadakan khas untuk fakulti-fakulti berikut:
 
  1. Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA)
  2. Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM)
  3. Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE)
  4. Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA)
  5. Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP)
  6. Fakulti Sains & Teknologi Industri (FIST)
  7. Fakulti Kejuruteraan Pembuatan
 
2.  Jurnal Sains Sosial & Pengurusan Teknologi:
 
Jurnal ini diadakan untuk dua pusat pengajian di UMP iaitu:
 
  1. Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
  2. Pusat Pengurusan Teknologi
 
3.   Dwibahasa
      Rencana boleh ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia
 
 
FORMAT PENULISAN RENCANA ILMIAH – JURNAL UMP
 
1.      Tajuk
2.      Nama pengarang
3.      Abstrak
4.      Kata kunci (kata kunci dalam objektif)
5.      Teks
    • Pengenalan
    • Kaedah dan bahan
    • Hasil/Keputusan
    • Perbincangan
    • Kesimpulan
    • Penghargaan
    • Rujukan
    • Alamat pengarang
 
1. TAJUK
     - Tajuk perlulah ringkas dan tepat yang menerangkan tentang kandungan dan bidang 
        penyelidikan.
 
2. NAMA PENGARANG
     - Nama pengarang yang terlibat di dalam penyelidikan.      
 
3. ABSTRAK
     - Ringkasan kandungan teks yang ditulis di antara 150-200 perkataan. Abstrak perlu
        mengandungi tujuan dan tumpuan kajian, bahan dan kaedah yang digunakan,   
        penemuan atau hasil utama penyelidikan dan kesimpulan yang penting dan utama.
 
4. KATA KUNCI
     - Perkataan pendek, terminologi atau kata kunci dalam pembolehubah dan objektif      
         kajian.
 
5. TEKS
       
·      PENGENALAN
                        - Menerangkan tujuan dan kaedah penyelidikan secara umum dan khusus.
                        - Sebab dan kenapa kaedah tersebut dipilih.
                        - Menjelaskan tentang sampel kajian yang dipilih.
                        - Hasil penyelidikan.
                        - Menerangkan istilah dan kependekan yang digunakan.
                       
·       KAEDAH DAN BAHAN
                        - Menerangkan reka bentuk kajian.
                        - Bahan yang digunakan dengan menyatakan spesifikasi teknikal
                          dan kuantiti serta sumbernya atau kaedah penyediaan nama-nama
                          genetik atau nama kimia. Perlu dinyatakan dengan tepat supaya ahli
                          sains yang lain dapat merujuk kepada bahan kimia yang sama apabila
                          mengulangi ujikaji yang sama.
 
·         HASIL/KEPUTUSAN
                         - Ringkas dan jelas.
                         - Laporan yang mewakili data.
                         - Jadual, rajah dan rajah perlu dinomborkan.
                         - Elakkan data yang berulang.
 
·         PERBINCANGAN 
                         - Pengarang menerangkan tujuan, hasil dan kesannya kepada kajian masa
                            hadapan.
                         - Menunjukkan bagaimana hasil kajian bertepatan atau tidak dengan hasil 
                            kajian yang telah diterbitkan sebelumnya.
                         - Membincangkan implikasi dari hasil kajian.
 
·         RUMUSAN
                         - Merumuskan dengan menulis kata kunci terpenting dari dapatan kajian.
                         - Menyatakan tentang pentingnya hasil kajian kepada kepenggunaan                   
                            komuniti.
 
·         PENGHARGAAN
                         - Pengarang mengucapkan ucapan tarima kasih kepada pihak terlibat    
                           seperti jabatan, orang perseorangan, firma, tuan punya premis dan 
                           sebagainya.
 
·         RUJUKAN
                         - Senarai rujukan dari buku teks dan jurnal.
                         - Senarai rujukan dari bahan penyelidikan.
                         - Senarai rujukan dari website, akhbar, artikel dsb.
                         - Bukti-bukti asli seperti gambar fosil dsb.
 
·         ALAMAT PENGARANG
                         - Alamat tempat bekerja.
                         - Alamat e-mail.
 
 
SENARAI SEMAK
PENULISAN RENCANA ILMIAH
 
 

No

Perkara

Tandakan  / atau x

1

Tajuk

 

2

Nama Pengarang

 

3

Abstrak

 

4

Kata Kunci

 

5

Pengenalan

 

6

Kaedah dan Bahan

 

7

Hasil/Keputusan

 

8

Perbincangan

 

9

Kesimpulan

 

10

Penghargaan

 

11

Rujukan

 

12

Alamat Pengarang

 

 

 

KAEDAH PENULISAN ILMIAH


 Pengenalan

Penulisan ilmiah merujuk penulisan yang berlandaskan metodologi keilmuan atau metodologi saintifik. Metodologi saintifik ialah pendekatan mengungkapkan fakta dan bukti bagi menyokong kebenaran melalui bebarapa langkah seperti perumusan masalah, pembentukan hipotesis, deduksi hipotesis dan pengujian kebenaran.

          Bahasa penulisan ilmiah, biasanya memilih kata, istilah, ungkapan dan ayat yang maknanya bersifat denotasi, iaitu tepat dan jelas supaya tidak disalahertikan dengan makna-makna lain. Dengan demikian karangan ilmiah harus bersifat objektif, jujur dan tepat.

 

Jenis-jenis Penulisan Ilmiah

  Jenis-jenis penulisan ilmiah yang utama ialah esei ilmiah, kertas kerja, laporan kajian, tesis dan disertasi

 

 A.     Esei ilmiah merujuk karangan ilmiah yang pendek tentang topik atau

permasalahan berdasarkan data yang diperolehi melalui rujukan perpustakaan dan / atau kerja lapangan. Penghuraiannya bersifat rasional-empiris dan objektif.

 

B.      Kertas kerja ialah penulisan ilmiah yang memaparkan sesuatu fakta

atau permasalahan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan. Analisis dalam kertas kerja adalah lebih serius serta bersifat rasional-empiris dan objektif. Kertas kerja biasanya ditulis untuk diterbitkan dalam jurnal akademik atau dibentangkan dalam pertemuan ilmiah seperti seminar, bengikel dan sebagainya.

 

C.     Laporan kajian atau penyelidikan ialah penulisan ilmiah yang

menyampaikan maklumat atau fakta tentang sesuatu kepada pihak lain. Penghuraiannya juga bersandarkan kepada metodologi saintifik dan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan.

 

 D.      Tesis ialah penulisan ilmiah yang sifatnya lebih mendalam. Tesis

mengungkapkan pengetahuan baru yang diperoleh daripada pengamatan atau penyelidikan sendiri. Penulisan ilmiah ini melibatkan pengujian hipotesis bagi membuktikan kebenaran. Tesis biasanya ditulis oleh pelajar peringkat Sarjana Muda Kepujian dan peringkat Sarjana serta perlu dipertahankan di hadapan panel viva-você.

 

E.      Disertasi ialah penulisan ilmiah tahap tertinggi dalam hierarki

pancapaian akademik, iaitu untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D). Disertasi melibatkan fakta berupa penemuan penulis sendiri berdasarkan metodologi saintifik dan analisis yang terperinci. Seperti tesis, disertasi juga perlu dibentangkan dan dipertahankan di hadapan panel atau lembaga viva-você.

 

 Ciri-ciri Khusus Penulisan Ilmiah

 Terdapat beberapa ciri khusus dalm penulisan ilmiah yang perlu diberi perhatian:

 

1.           Catatan Pustaka

2.           Catatan Kaki dan Catatan Kaki Singkat

3.           Petikan Langsung dan Tak Langsung

4.           Bibliografi / Rujukan / Daftar Pustaka

 

1. Catatan Pustaka

 Dalam penulisan ilmiah, sumber maklumat yang digunakan atau dirujuk perlulah dinyatakan. Catatan tentang sumber maklumat seperti buku, majalah, jurnal atau surat khabar disebut catatan pustaka. Teknik catatatn pustaka yang lazimnya digunakan adalah seperti berikut:

          Jika nama pengarang dimasukkan bersama teks, karangan yang  diisi di dalamnya tahun penerbitan dan muka surat dan perlu ditempatkan selepas nama pengarang tersebut. Tanda titik bertindih (:), dimasukkan di antara angka tahun terbitan dengan angka muka surat. Contoh:

 

           Menurut Mohd. Nor Daud (1997 : 63), ayat yang berkesan ialah satu bentuk ayat yang disokong oleh kepelbagaian dalam struktur ayat

atau

          Hassan Ahmad (2000), juga sependapat dengan....

 atau

          Mengikut pandangan Saville – Troike (1986 : 52-63), peristiwa

 

komunikasi....

Jika dalam teks nama pengarang tidak disebut, catatan nama pengarang, tahun penerbitan dan muka surat dimasukkan di dalam kurungan dan diletakkan di hujung teks sebelum noktah. Tanda koma (,) diletakkan di antara nama pengarang dengan tahun terbit. Contoh:

 

            Secara amnya peribahasa ialah percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran.

(Keris Mas, 1988 : 136)


2. Catatan Kaki

Catatan kaki ialah catatan-catatan kecil yang berfungsi memberikan keterangan tambahan terhadap teks yang ditulis. Catatan kaki ditempatkan pada bahagian bawah halaman dan dipisahkan daripada teks dengan garis panjang. Penomboran yang berurutan diberikan kepada setiap catatan kaki. Contoh:

 

.....kajian etimologi1 tidak dapat dipisahkan daripada kajian linguistik...

          ________________________________________________

          1. Etimologi ialah kajian tentang kata serta perubahan bentuk dan               makna.

 

2.2. Catatan Kaki Singkat

 Catatan kaki singkat merupakan satu lagi kaedah menunjukkan sumber rujukan selain kaedah catatan pustaka.

 

ibid.            (singkatan daripada ibidum, ertinya sama dengan yang di atas).

Digunakan untuk catatan kaki yang sumbernya sama dengan catatan kaki yang telah disenaraikan di atasnya.

 

op.cit          (singkatan daripada opere citati, ertinya dalam buku / karya

yang telah dipetik), digunakan untuk catatan kaki daripada sumber yang telah dinyatakan, tetapi telah disisip catatan kaki lain daripada sumber lain.

 

loc.cit          (singkatan daripada loco citati, ertinya tmpat yang telah dipetik)

seperti op.cit, tetapi dipetik daripada perenggan yang lain.

 

Perhatikan contoh catatan kaki singkat yang menunjukkan sumber rujukan dan ditempatkan pada bahagian bawah halaman serta dipisahkan daripadaa teks degan garisan panjang seperti yang berikut:

 

1.           John Dewey, 1974. How We Think. Chicago. Henry Regnery Company. hal : 75

 

2.           Shaykh Hakim Moinuddin Chisti, 1985. The Book of Sufi Healing. New York. Inner Traditions International Ltd. hal : 25

 

3.           Ibid, hal. 45

 

4.           John Dewey, op.cit., hal 89.

 

5.           John Dwey, loc.cit.

 

Penggunaan catatan untuk menunjukkan sumber rujukan mestilah selaras dalam keseluruhan penulisan. Jika kaedah catatan pustaka yang dipilih, maka keseluruhan penulisan haruslah menggunakan kaedah ini. Sebaliknya jika kaedah catatan kaki singkat digunakan, maka keseluruhan penulisan mestilah mengekalkan penggunaan kaedah ini dengan konsisten.

 

3. Petikan Tak Langsung

Petikan tak langsung merupakan pengungkapan kembali pendapat, gagasan pokok, ringksan atau kesimpulan daripada sebuah tulisan dengan gaya penulis sendiri. Teknik menyatakan sumber informasi dalam petikan tak langsung adalah sama seperti teknik catatan pustaka.

 

4. Petikan Langsung

Petikan langsung pula ditulis dalam susunan ayat asalnya tanpa sebarang perubahan dan diberi tempat tersendiri, terpisah daripada teks. Petikan langsung kadang-kadang diperlukan untuk mempertahankan keaslian penyataan yang dipetik, menunjangi hujah atau memberi maklumat tambahan.

          Petikan langsung diberi tanda petik (“ “) padanya dan diikuti oleh catatan pustaka. Biasanya petikan langsung ditulis rapat (satu spasi) ataupun dikecilkan saiz hurufnya seperti contoh yang berikut:

 

 “Segala sesuatu cakap yang pendek yang melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan besar tujuannya dipakainya sebagai sebutan-esbutan orang sebagai bandingan teladan dan pengajaran”.

(Za’ba, 1965 : 165)

 

          Sementara Clifford dan Swettenham menyatakan hasil pemrhatian mereka iaitu:

 

“.......peribahasa merupakan bahasa diplomatik, amat sesuai untuk mengelakkan diri daripada terlalu berterus-terang”.

(Brown, 1951 : X)

 5. Bibliografi

Menulis bibliografi atau daftar pustaka bermaksud menyenaraikan semua sumber rujukan dan bacaan sama ada yang telah diterbitkan seperti buku, jurnal dan majalah ataupun yang belum terbit seperti kertas kerja, tesis dan disertasi. Biblografi dapat membantu pembaca mengetahui sumber-sumber yang digunakan dalam sesuatu kerja ilmiah. Ada beberapa hal yang perlu diperhatikan dalam penyusunan bibliografi:

 

1.    Bibliografi tidak diberi nombor

2.    Urutan nama penulis mengikut urutan huruf

3.    Gelaran penulis tidak dimasukkan

4.     Bibliografi diletakkan pada bahagian terakhir tulisan

5.     Nama pengarang Melayu, Cina dan India ditulis penuh dalam susunan asal tetapi pengarang Barat, hanya nama keluarga sahaja yang ditulis.

 

Urutan unsur-unsur yang ditulis dalam bibliografi ialah:

 

1. Nama penulis

2. Tahun penerbitan

3. Judul – digaris atau dicetak miring

4. Tempat penerbitan

5. Nama penerbit

 

Perhatikan contoh-contoh bibliografi di bawah ini.

Bibliografi

Abdullah Hassan, 1984. Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia

Petaling Jaya. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

Campbell. W.G., 1976. Form And Style In Thesis Writing. Boston.

Houghton Mifflis Company.

 

Mohd. Senu Awang, 1994. Khutbah Jumaat : Satu Analisis Laras. Kuala

Lumpur. Penerbitan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

Nik Safiah karim, et. All. 1993. Tatabahasa Dewan, jilid 1 dan 2. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Soosai Ganesh, 1981. Kamus Ungkapan Lengkap. Kuala Lumpur.

Penerbitan Geetha.

 

Tan Ching Kwang, 1985. Malay Proverbs. Kuala Lumpur. Graham Brash.

Teo Kok Seong, 1997. Linguistik Antropologi: Satu Pengenalan Teoritis,

dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 41 : 3 Mac, hlm. 243-251.

 

Razak A. Majid, 2002. Bahasa untuk Masyarakat Madani, dlm. Berita

Harian. September, hlm 12.

 

http://www.dbp.gov.my/

http://www.bharian.com.my

http://ww.utusan.com.my/majalah/massa

Kamus

Kamus Dewan, 1999. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.